BALIK PULAU – Tindakan pantas sepasukan anggota polis membawa dua motosikal yang ditinggalkan pemiliknya bersama anak kunci ke Balai Polis Bayan Lepas Khamis lalu mengundang pujian netizen di media sosial sejak semalam.
Menerusi Facebook (FB) yang dimuat naik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, kejadian dilaporkan berlaku ketika anggota balai berkenaan melakukan tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) pada 2 Jun lalu di sekitar Bayan Lepas di sini lalu menemui dua buah motosikal.
“Dua motosikal ditinggalkan dalam keadaan kunci masih berada di motosikal tersebut.
Bagi mengelakkan motosikal itu dicuri, KPB (Ketua Polis Balai) Bayan Lepas mengarahkan anggota bertugas membawa kedua-dua motosikal itu ke balai.
“Pemilik motosikal telah hadir ke balai untuk membuat laporan kehilangan motosikal tetapi anggota bertugas memberitahu yang motosikal mereka berada di balai.
“Phak polis berharap agar orang ramai lebih berhati-hati memandangkan kecuaian seperti ini hanya akan memberi ruang dan peluang kepada penjenayah sekali gus meningkatkan jumlah kes curi motosikal di Daerah Barat Daya,” menurut kenyataan di FB rasmi berkenaan semalam.
Dalam pada itu, tindakan anggota polis tersebut telah mendapat 79 tanda suka dan lima perkongsian sejak dimuat naik pada pukul 7.48 malam tadi. KOSMO! ONLINE