KUALA KANGSAR – Seorang lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika berenang menyeberangi Sungai Perak dekat Sayong Lembah semalam, ditemukan mati lemas hari ini.
Mayat Mohamad Nor Amirulhamzah Jaafar, 26, dijumpai pada pukul 7.19 pagi oleh orang awam berhampiran jeti nelayan di Kampung Bendang Kering di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, mayat mangsa dijumpai terapung pada jarak kira-kira dua kilometer dari pos kawalan tempat kejadian (PKTK) pasukan penyelamat.
“Pihak bomba dibantu oleh anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan masyarakat setempat untuk membawa naik mayat mangsa. Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan kelmarin, ditamatkan pada pukul 10 pagi,” katanya di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, mangsa yang juga warden Pusat Rawatan dan Pemulihan Darul Islah di Padang Rengas hilang selepas dihanyutkan arus deras, ketika cuba menyeberangi Sungai Perak berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil dekat Sayong Lembah di sini.
Kejadian sekitar pukul 10 malam itu berlaku ketika mangsa bersama seorang penghuni pusat pemulihan berkenaan cuba berenang ke seberang sungai selepas gagal memperolehi ikan.-KOSMO! ONLINE