PETALING JAYA – Gara-gara ingin memutuskan hubungan, seorang wanita hampir putus jari akibat bergelut dengan teman lelakinya yang dikatakan ‘psiko’.
Pengalaman tersebut dikongsikan pengguna Twitter @elfucir yang menceritakan penderitaan hidupnya apabila terpaksa menanggung sakit selepas dibelasah kekasihnya itu.
“Punya lama aku diam, mamat (teman lelaki) makin naik-naik, ini jari aku terbelah sebabkan minta putus dari orang ‘psiko’.
“Ingat senang ke nak tinggalkan orang ‘psiko’ dan gila? Makan diri,” ciapnya kelmarin.
Menurut wanita tersebut, disebabkan insiden yang berlaku itu, dia telah menerima sembilan jahitan ketika dirawat di sebuah hospital.
Sementara itu, pemilik akaun tersebut turut berkongsi beberapa tangkap layar kiriman mesej yang diterimanya oleh individu tidak dikenali memaklumkan pernah menjadi ‘mangsa’ lelaki sama.
“Bukan aku seorang sahaja terkena dengan lelaki ‘psiko’ ini, ada wanita-wanita lain yang terkena.
“Lagi gila dia pernah mengaku kereta Volkswagen aku itu kereta dia, hutang aku pun tak pernah bayar, sembang sahaja lebih,” katanya.
Jelasnya lagi, perkongsian di Twitternya itu bertujuan untuk memberi peringatan buat kaum wanita yang lain agar lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup dan tidak terjerat dengan lelaki bermasalah seperti pengalaman dilaluinya.
“Jauhkan diri dari lelaki macam pengalaman aku, kalau dia ugut nak bunuh kau, ugut aib kau, tinggalkan. – KOSMO! ONLINE