fbpx

Hutan simpan anugerah terindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHD TURMADZI MADUN, PENGARANG BERITA KOSMO.

Baru-baru ini penulis ke Sungai Siput, Perak. Lokasi yang dituju ialah Bukit Berekeh. Misi kami seramai 17 orang pada hari itu ialah ingin menawan puncak bukit setinggi 454 meter tersebut.

Kami mula mendaki seawal pukul 4.45 pagi terlewat 45 minit daripada rancangan asal. Perjalanan naik turun di atas permukaan bukit yang berbatu itu berakhir satu jam setengah kemudian.

Berada di atas bukit yang mempunyai lima puncak itu sangat mempesonakan.

Walaupun cantik tetapi Bukit Berekeh sangat ‘kejam’. Cabaran pada 200 meter pertama pasti akan menguji mental buat sesiapa sahaja yang pertama kali mendakinya.

Dipendekkan cerita, kesemua kami berjaya naik dan turun dengan selamat. Aktiviti pada hari itu tamat kira-kira pukul 9 pagi. Masing-masing tersenyum puas walaupun keletihan kerana rata-rata kami sudah lama berehat selepas kehilangan kerja tahun lalu.

Aktiviti mendaki ada juga pahala yang boleh kita kutip kalau niatnya ingin melihat kebesaran Tuhan yang menciptakan alam ini.

Mata yang melihat disulamkan dengan ucapan puji-pujian kepada Tuhan ketika melihat panorama dari tempat tinggi sudah pasti menambahkan iman bagi mereka yang beragama Islam.

Alangkah indahnya jika hutan menghijau itu dibiarkan daripada sebarang pencerobohan oleh mereka yang rakus mengaut hasilnya tanpa menghiraukan kesan kepada alam sekitar.

Siapa tahu dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang kawasan itu akan ‘botak’ dikerjakan oleh tangan-tangan jahat menebang balak untuk kemewahan peribadi.

Dakwaan itu ada benarnya kerana ketika penulis ingin ke air terjun Lata Penyel di Pos Yum kira-kira 20 kilometer dari bukit itu, kelihatan beberapa kawasan sudah menjadi rata dengan beratus batang balak telah siap disusun untuk diangkut.

Keindahan air terjun berkenaan dan kejernihan air sungai di kawasan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Pos Kuala Mu itu bukan sahaja perlu dikekalkan, malah ia menjadi sumber pendapatan buat penduduk Orang Asli suku Temiar di Kampung Pendeq.

Lihat sahaja wajah ceria mereka ketika menerima kedatangan pelancong dalam dan luar negara sudah cukup memberikan isyarat kepada kita supaya bentuk muka bumi di situ harus dikekalkan.

Tambahan pula, hutan Malaysia hanya tinggal 5.3 peratus daripada keseluruhan 55.3 peratus untuk diteroka selaras dengan komitmen yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Jeneiro, Brazil pada 1992.

Jangan sampai apa yang terjadi pada sungai-sungai di Lembah Klang yang telah dicemari hingga menyusahkan ramai orang berlaku di kawasan-kawasan hutan simpan yang mempunyai banyak khazanah alam.

Pokok pangkalnya ialah nafsu. Jika tahu mengawalnya, maka segala yang kita inginkan kebaikan padanya akan terus terjaga tetapi jika sebaliknya, tunggu sahaja akibatnya kerana alam kalau sudah bersuara tentu buruk pengakhirannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI