MOSCOW – Presiden Russia, Vladimir Putin menolak dakwaan blok Barat yang menjadikan operasi ketenteraan khas Moscow ke atas Ukraine sebagai punca utama krisis bekalan makanan global pada ketika ini, lapor laman RT, kelmarin.
Menurut Putin, pihaknya tidak pernah menyekat atau menghalang Ukraine untuk menggunakan mana-mana pelabuhan atau laluan bagi mengeksport bijiran kepada pasaran antarabangsa seperti yang didakwa Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Sekatan yang dikenakan oleh AS dan sekutunya terhadap Russia dan Belarus yang sebenarnya memburukkan lagi situasi semasa.
Hal tersebut didedahkan Putin dalam satu wawancara khas televisyen Rusia selepas pertemuan dengan Pengerusi Kesatuan Afrika, Macky Sall di Sochi.
Punca utama krisis ini terletak pada dasar kewangan AS semasa pandemik Covid-19 dan kebergantungan Eropah Barat pada kontrak boleh diperbaharui dan gas jangka pendek.
“Ia mula terbentuk seawal Februari 2020 semasa Barat dalam proses memerangi impak yang disebabkan pandemik Covid-19.
“Harga gas tinggi akibat kekurangan pelaburan dalam sektor tenaga tradisional telah memaksa banyak pengeluar baja menutup perniagaan mereka kerana tidak mendatangakan keuntungan.
“Namun, Barat melihat adalah lebih senang meletakkan punca ke atas Rusia berbanding mengambil langkah yang sepatutnya untuk membetulkan keadaan,” tegas Putin.
Beliau turut menyelar dakwaan Moscow menghalang bijirin Ukraine daripada dieksport ke negara lain sebagai satu penipuan besar.
Malahan Rusia bersedia untuk meningkatkan eksport bijirin sendiri sehingga 50 juta tan bagi memenuhi permintaan pasaran.
Putin membentangkan fakta bahawa terdapat beberapa cara untuk mengangkut bijirin dengan selamat dari wilayah Ukraine termasuk melalui Poland dan Hungary.
“Kami tidak menghalang bijirin Ukraine daripada dieksport. Ia boleh dipindahkan melalui pelabuhan yang dikawal oleh mereka sendiri.
“Bukan Rusia yang menutup atau mengawal pelabuhan-pelabuhan ini. Semuanya di bawah kawalan Ukraine. Saya telah berkali-kali mengatakan jangan biarkan operasi kami menjejaskan laluan perdagangan,” ujarnya.
Pemimpin Russia itu juga memaklumkan bahawa laluan pengangkutan Belarus sebagai cara termurah untuk menghantar bijirin Ukraine kepada pelanggan di seluruh dunia.
Bagaimanapun, bagi menggunakan laluan itu, ia memerlukan negara Barat menarik balik sekatan yang mereka kenakan terhadap Minsk. – AFP