KUALA LUMPUR – Perak Phoenix meneruskan momentum cemerlang apabila mencatat kemenangan kedua dalam saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 selepas menewaskan Melaka Mystic 56-31 hari ini.
Seperti biasa, kapten Perak, Khairunnisa Nazri terus menjadi senjata utama buat pasukannya sebagai penyumbang utama jaringan dalam aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara itu.
Dua kemenangan itu secara tidak langsung meniupkan semangat Perak Phoenix yang akan berdepan cabaran sebenar apabila menentang pilihan utama, Johor Jewels untuk perlawanan ketiga esok.
Bagaimanapun, goalkeeper Perak Phoenix, Ezzatul Husna Samat mengakui, mereka masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki kerana membenarkan Melaka Mystic melakukan kebangkitan pada suku masa terakhir permainan.
“Sangat berpuas hati dengan prestasi ini walaupun ada rasa tergugat dengan Melaka Mystic yang cuba mengejar di suku terakhir. Kami perlu tingkatkan persembahan untuk aksi seterusnya.
“Kami banyak lakukan kesalahan dari segi hantaran dan kerap terlepas bola. Bahagian serangan juga kurang keluar untuk mengambil bola.
“Jadi kami perlu rancang strategi yang baik di setiap posisi kerana lawan seterusnya Johor sangat kuat,” katanya.
Sebagai rekod, ini adalah kemenangan kedua Perak Phoenix daripada dua aksi setakat ini selepas menewaskan Negeri Sembilan (NS) Venom 42-32 semalam. – KOSMO! ONLINE