KEGAGALAN dalam bidang perniagaan selendang dan kebaya tidak sedikitpun mematahkan semangat Nur Afyqa Mustafa, 23, dalam usahanya untuk memburu cita-cita menjadi pereka fesyen terkenal.
Gadis yang mesra dipanggil Fyqa itu sebaliknya bangkit dengan pelbagai rekaan jubah dan abaya menarik, sekali gus mendapat perhatian ramai.
Dia yang cukup meminati dunia fesyen sejak kecil turut berazam untuk membina empayar sendiri bagi meletakkan namanya sebaris pereka fesyen terkemuka seawal usia muda.
Bersama Kosmo! Ahad, Fyqa berkongsi mengenai latar hidupnya dan pengalamannya sebagai seorang pereka fesyen.
Kosmo! Ahad: Boleh kongsikan latar belakang anda?
Saya merupakan anak bongsu daripada lima beradik yang bercita-cita untuk menjadi usahawan dan pereka fesyen tersohor. Berkelulusan graduan Management & Science University (MSU) dalam bidang Seni Reka Bentuk Fesyen dan berasal dari Kuala Terengganu. Fyqa bukan sahaja seorang pereka fesyen, malah seorang model muslimah untuk rekaan fesyen sendiri.
Bagaimana boleh terlibat dengan dunia rekaan fesyen dan sejak bila meminatinya?
Fyka memang suka bergaya dan melukis busana yang mahu dipakai sejak kecil. Lantaran itu, Fyka memutuskan melanjutkan pelajaran dalam bidang Seni Rekaan Fesyen untuk belajar secara mendalam dunia fesyen dan trend terkini.
Apakah pencapaian terbesar sejak berkecimpung dalam dunia perniagaan?
Setelah tiga bulan berniaga koleksi tersendiri, saya cukup yakin dengan jenama yang dihasilkan sehingga mendorong saya membuka kedai pada bulan Ramadan baru-baru ini. Sebelum ini, Fyqa bermula dengan menvjual selendang dan kebaya koleksi sendiri, namun sambutan tidak begitu memberangsangkan. Bagaimanapun, Fyqa tidak putus asa dan terus mencari idea bisnes lain. Keluarga Fyqa memang kerap memakai jubah dan abaya dari Mekah sehingga tercetusnya idea untuk mengeluarkan koleksi abaya Fyqa sendiri.
Bagaimana anda mengatasi cabaran berfesyen bagi wanita berhijab?
Bagi saya tidak salah dan sentiasa ada ruang untuk berfesyen asalkan mematuhi garis panduan berpakaian bagi wanita yang ditetapkan agama.
Adakah anda mahu mengembangkan cabang perniagaan pada masa akan datang?
Ya, saya menyasar untuk mengembangkan jenama AbayaFyqaMustafa.co supaya menjadi peneraju pasaran abaya di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Siapa pereka fesyen tempatan dan luar negara yang memberi anda inspirasi?
Ada ramai pereka fesyen yang memberi inspirasi kepada saya seperti Datuk Rizalman Ibrahim dan Rizman Ruzaini dari Malaysia selain Annah Hariri yang merupakan pereka fesyen pakaian muslimah Amerika Syarikat kelahiran Turki.
Bagaimana anda memanfaatkan kelebihan media sosial dalam bidang perniagaan?
Semua platform media sosial saya digunakan bagi mendekati dan memberi kepuasan kepada pelanggan. Sebagai langkah pemasaran, media sosial banyak membantu menaikkan imej jenama Fyqa kepada orang ramai. -KOSMO! ONLINE