DUNGUN – Seorang wanita bukan sahaja menghidap penyakit diabetes kronik, malah turut disahkan mengalami masalah usus baru-baru ini sehingga tahap kesihatannya semakin merosot sejak akhir-akhir ini.
Haliza Halip, 50, memberitahu, masalah kesihatannya itu telah menyebabkannya tidak dapat meneruskan pekerjaan sebagai pekerja am.
Katanya, pendapatan sebagai pekerja am itu sebelum ini sedikit sebanyak telah membantu suaminya dalam menampung keperluan keluarga.
“Pendapatan kasar suami sebagai juruteknik sebanyak RM1,800 sebulan hanya cukup-cukup untuk membiayai tiga orang anak kami.
“Salah seorang anak kami pula merupakan orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran yang memerlukan lebih perhatian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sura Tengah di sini baru-baru ini.
Haliza berkata, dia kini juga resah memikirkan kebajikan 40 ekor kucing peliharaannya yang semakin terabai sejak tahap kesihatannya merosot.
Katanya, sewaktu sihat, dia membela sebanyak 40 ekor kucing yang kebanyakannya berasal daripada haiwan jalanan.
“Dahulu, sebahagian besar kos penjagaan kucing termasuk membeli makanan, pasir, pembinaan sangkar dan perubatan menggunakan sebahagian gaji saya.
“Kini saya sudah tidak berdaya bekerja lagi dan tidak mampu membiayai kos memelihara kesemua kucing itu yang mencecah ratusan ringgit sebulan,” ujarnya.
Haliza berkata, kos perubatan dan keluarga kini menjadi keutamaan sehingga menyebabkan kebajikan kucing-kucing tersebut terabai.
“Saya sedih kerana kucing-kucing itu adalah penghibur yang sedikit sebanyak telah menjadi motivasi saya untuk melawan penyakit ini.
“Kalau ada yang sudi membantu terutama dalam menjaga kucing-kucing ini, saya amat gembira,” katanya
Orang ramai boleh membantu dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank milik Haliza bernombor 164119104802 (Maybank) atau menghubunginya di talian 011-5185 1306. -KOSMO! ONLINE