SEPANG – Polis mengesahkan kematian seorang wanita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam adalah disebabkan komplikasi darah tinggi.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan tentang kejadian pada pukul 1.10 petang melibatkan seorang wanita tempatan berusia 53 tahun.
“Pihak polis telah menerima panggilan memaklumkan tentang satu kematian melibatkan seorang wanita di aerobridge Gate C12 untuk pesawat MH8021 dan pemeriksaan fizikal ke atas si mati tidak menemui sebarang kesan mencurigakan.
“Berdasarkan hasil siasatan yang dilakukan, mangsa dikesan ada menghidap sakit darah tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Imran, jenazah telah diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan jenazah telah dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan seorang wanita jemaah umrah yang baru sahaja pulang dari Tanah Suci Mekah menghembuskan nafas terakhir sebaik tiba di KLIA.
Menurut laporan daripada seorang mutawif, wanita tersebut difahamkan telah rebah dan pengsan sejurus keluar dari pintu pesawat.
Menurutnya, mangsa juga telah dibantu oleh kru kapal dan pasukan perubatan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.-KOSMO! ONLINE.