PETALING JAYA – Pengasas syarikat RF3, Datuk Seri Nazeri Omar telah menerima anugerah The BrandLaureate SMEs BestBrands Award 2022 – ICON of SMEs baru-baru ini.
Syarikatnya itu turut menerima The BrandLaureate Prominent Business BestBrands Awards 2022 dalam kategori Rangkaian Pemasaran.
Anugerah itu diadakan untuk meraikan jenama-jenama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang hebat dan berjaya dalam menghadapi wabak Covid-19, bertahan membina jenama mereka, mengangkat ekonomi dan membantu rakyat yang memerlukan.
Majlis tersebut turut menyaksikan The BrandLaureate BrandLeadership Award 2022 – CEO of the Year dianugerahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Widad Facility Management Sdn Bhd, Datuk Julaini Jusoh.
Presiden Dunia Brandlaureate, Dr KK Johan berkata, posisi nombor satu tidak berlaku dalam sekelip mata sebaliknya ia adalah perjalanan yang perlu melalui banyak pasang surut bagi mengenal pasti apa yang terbaik untuk perniagaan dan jenama sesebuah syarikat.
“Tidak ada jalan pintas untuk berjaya kerana kejayaan boleh mengambil masa bertahun-tahun, tetapi jika anda percaya pada jenama anda dan visinya, anda pasti akan berjaya.
“Jenama mesti diterajui oleh pemimpin jenama yang kuat dan benar-benar komited jika ingin menjadi menjadi yang terbaik di dunia,” katanya.
Sementara itu, sejajar dengan misi TWBF untuk mengembangkan The BrandLaureate BestBrands Awards di peringkat global, The BrandLaureate memperluaskan penganugerahan untuk mengiktiraf jenama pada skala yang besar.
Susulan itu, seramai 10 Pengerusi Penganjur telah dilantik pada 24 Februari 2022 di The BrandLaureate Bumiputera dan World Halal BestBrands Awards 2022 dan 10 lagi Pengerusi Penganjur dari pelbagai industri telah dilantik.
Turut hadir pada majlis itu ialah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Tan Sri Datuk Mohd. Yazid. – KOSMO! ONLINE