PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama sesak berikutan pertambahan kenderaan dan beberapa kemalangan yang dilaporkan setakat pukul 11.15 pagi tadi.
Menurut laporan di Twitter Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM), trafik kini perlahan di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS E1).
“Di LPT 1, trafik sesak sepanjang satu kilometer (km) dari KM87.7 hingga KM86.7 arah Kuala Lumpur dan 4.4 km dari KM109.4 hingga KM113.8 arah Kuantan ekoran kemalangan di lokasi menyebabkan lorong laju dan kecemasan terhalang.
“Selain itu, trafik turut dilaporkan sesak sepanjang 10 km melibatkan PLUS E1 di KM361.9 arah Utara, Slim River ke Sungkai mengakibatkan lorong kanan terhalang,” katanya.
Jelas laporan itu, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif bagi pengguna arah Utara di Persimpangan Slim River.
Dalam pada itu, aliran trafik juga tinggi membabitkan Bukit Lanjan ke Sungai Buaya, Lembah Beringin ke Tanjung Malim dan sebelum keluar Plaza Tol Rawang Selatan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan aliran trafik mula sesak di LPT1 dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berikutan peningkatan kenderaan sempena cuti sekolah. – KOSMO! ONLINE