KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats tidak berdepan halangan sukar untuk merakam kemenangan pertama pada saingan musim baharu Sooka Netball Super League (NSL) 2022.
Skuad bimbingan Norizan Rajab itu sememangnya bukan tandingan buat Melaka Mystic apabila mudah mencatat kemenangan 81-20 pada aksi pertama NSL di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.
Goal shooter KL Wildcats, Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli gagal dikekang barisan pertahanan Melaka Mystic apabila hampir setiap percubaannya berjaya menghasilkan jaringan buat pasukan.
Ketiadaan tonggak pertahanan, Nur Syafazliana Mohd. Ali yang menyertai Johor Jewels musim ini juga masih belum dirasai KL Wildcats yang hanya melepaskan sembilan gol kepada Melaka Mystic dalam 30 minit pertama permainan.
Malah, KL Wildcats juga muncul pasukan paling banyak menghasilkan jaringan pada saingan hari pertama NSL musim ini dengan 81 gol.
Bagaimanapun, KL Wildcats tidak boleh terlalu selesa dan perlu meningkatkan tahap permainan jika berhasrat mengekalkan kejuaraan untuk musim kedua berturut-turut.
Ini kerana seteru utama, Johor Jewels dilihat begitu ampuh dan disebut-sebut mampu mencabar KL Wildcats berdasarkan prestasi ditampilkan setiap pemain ketika membelasah Kedah Sunshine 63-24. – KOSMO! ONLINE