fbpx

Segera kawal selia industri vape bendung penyalahgunaan bahan terlarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Industri vape di Malaysia menjana lebih AS$2 bilion (RM8.7 bilion) dan kini kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persatuan pengguna vape menggesa kerajaan menyegerakan peraturan untuk mengawal selia secara keseluruhan industri vape di negara ini agar ia tidak dirosakkan oleh kemasukan bahan terlarang seperti dadah.

Presiden Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move), Samsul Kamal Ariffin berkata, jika perkara itu tidak dibendung dari sekarang, industri vape di negara ini bakal mengalami kerugian besar pada masa hadapan.

Samsul Kamal

Menurut beliau, industri vape ini telah menjana pendapatan lebih AS$2 bilion (RM8.7 bilion) zaman sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

“Sebagai langkah awal, kerajaan perlu menjalani uji kaji ke atas semua bahan dan cecair vape dan hanya bahan yang diluluskan sahaja boleh dijual kepada pengguna.

“Bila perkara ini dapat dilaksanakan sudah tentu semua produk yang ada dipasaran itu semuanya selamat dan tidak dicampur dengan dadah,”katanya kepada Kosmo!.

Tambah beliau lagi, kerajaan juga tidak perlu berkompromi dengan mana-mana pihak yang telah melanggar arahan yang telah digariskan itu.

“Semua produk yang tidak mendapat kelulusan kerajaan sama ada mengandungi dadah atau tidak perlu rampas kerana dari situ kita dapat kawal selia secara keseluruhan industri ini supaya ia adil kepada semua,”katanya.

Mengulas lanjut, Samsul Kamal berkata, industri vape di negara ini juga telah berkembang pesat dan kini menjadi industri kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

Gambar hiasan

Lebih membanggakan katanya, industri ini telah dimonopoli oleh anak tempatan yang lebih 90 peratusnya adalah bumiputera.

Katanya, jika industri ini tidak kawal selia dan ‘dijaga’ dengan baik ia bukan sahaja menjejaskan pemain industri, malah ia turut merugikan pihak kerajaan menerusi cukai yang dijangka dilaksanakan dalam tahun ini.

“Saya yakin industri ini mampu berkembang lebih besar kerana kita ada keupayaan seperti pembekalan bahan mentah untuk peranti dan bahan menghasilkan cecair vape.

“Ini kerana bahan mentah untuk menghasilkan cecair vape adalah daripada minyak kelapa sawit, manakala untuk peranti pula kita mempunyai banyak kilang yang menghasilkan produk semikonduktor.

“Dengan adanya bahan ini, tidak mustahil satu hari nanti negara kita akan menjadi hab vape terpenting di dunia,”ujarnya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu cecair vape mengandungi dadah dan menyebut tindakan tersebut bukan dibuat oleh pengusaha atau pemain industri vape di negara ini.

Tetapi katanya, tindakan itu dipercayai didalangi golongan pengedar dan penagih dadah yang berselindung disebalik industri vape tempatan.

Gambar hiasan

“Pihak yang mencampurkan dadah dalam cecair vape ini mereka bukan vaper (pengguna vape), tetapi mereka penagih dadah. Kita jangan samakan vaper dengan penagih dadah, ia sangat berbeza.

“Isu ini bukan perkara baharu, sebelum ini pun ada juga kes dimana ada pihak telah mencampurkan cecair vape dengan dadah THC (ganja) di luar negara, namun ia tidak sempat masuk ke Malaysia,”ujarnya.

Terdahulu media melaporkan, dadah jenis MDMA dalam bentuk cecair perasa rokok elektronik atau vape jadi ancaman baharu kepada golongan remaja dan belia di negara ini.

Kegiatan tersebut terbongkar selepas sebuah sindiket menjual dan mengedar dadah berkenaan dalam bentuk perasa rokok eletronik atau ‘vape’ tumpas dengan penahanan lima individu di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI