KUALA LUMPUR – Kebangkitan lewat permainan ditunjukkan Negeri Sembilan (NS) Venom masih belum cukup apabila tewas 32-42 kepada Perak Phoenix pada aksi pembukaan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 hari ini.
Kapten NS Venom, Nur Lailatulladhawiyah Che Yahaya mengakui, dia dan rakan sepasukannya sudah berikan yang terbaik untuk menyaingi kemampuan Perak pada aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara itu.
Kesungguhan tinggi ditunjukkan pemain pertahanan yang mesra disapa Laila itu untuk membantu kemenangan pasukan menerima padah apabila melakukan kekasaran sehingga diarahkan meninggalkan gelanggang selama dua minit.
Ketiadaan Laila, 25, menyaksikan NS Venom terpaksa bermain dengan enam pemain selama dua minit dalam suku terakhir perlawanan sekali gus memberikan kesukaran untuk mengejar kedudukan Perak Phoenix.
“Ini kali pertama dalam hidup saya kena keluar selama dua minit. Mungkin saya terlalu agresif nak dapatkan bola, jadi saya minta maaf.
“Mungkin disebabkan kepenatan dan penggiliran pemain membuatkan kami tidak konsisten pada suku ketiga. Kami cuba juga berikan saingan sebab nak menang perlawanan ini,” kata Laila.
Justeru, pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan pada Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia itu bertekad untuk memberikan prestasi lebih baik dalam aksi kedua menentang Kuala Lumpur (KL) Wildcats esok.
“Saya harap rakan-rakan tak takut jumpa KL esok sebab kami pernah menentang mereka dalam beberapa aksi persahabatan sebelum ini. Kami akan cuba berikan tentangan untuk dapatkan kemenangan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE