fbpx

Bersyukur jadi kumpulan pertama terbang ke Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Haniza membuat persiapan terakhir sebelum berlepas ke Tanah Suci hari ini.

PETALING JAYA – “Terima kasih Allah jemput jadi tetamu per­tama-Mu,” itu kata-kata diluahkan Noor Haniza Zainuddin, 42, apabila terpilih menjadi kumpulan pertama jemaah Malaysia tahun ini yang akan berlepas ke Tanah Suci hari ini bagi menunaikan ibadah haji.

Menurut pengurus kanan syarikat swasta itu, rezeki mengerjakan haji kali ini begitu istimewa buat dirinya dan suami, Mohd. Fikri Rahimin, 36, memandangkan hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan dua tahun lalu akibat penularan Covid-19.

“Alhamdulillah, ada rezeki buat kami suami isteri ke Tanah Suci selepas tertangguh akibat Covid-19. Lebih manis lagi apabila turut disenaraikan sebagai jemaah kumpulan pertama yang akan berlepas dari Malaysia esok (hari ini).

“Sejujurnya, kami berasa begitu teruja kerana ini merupakan antara impian yang dinantikan. Dua tahun lalu, semua persiapan telah dibuat untuk ke sana tetapi belum ada rezeki lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Katanya, dia dan suami mula membuat persiapan secara terperinci seperti pemeriksaan kesihatan dan urusan pasport sejurus mendapat surat tawaran daripada Tabung Haji (TH) pada 25 April lalu.

“Kami juga perlu memastikan tahap kesihatan sentiasa dalam keadaan baik seperti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, malah sambutan Aidil­fitri lalu juga diraikan secara sederhana bagi mengurangkan pergaulan dengan orang ramai,” ujarnya.

Turut melahirkan perasaan bersyukur ialah seorang guru, Mohd. Ar. Firdaus Mohd. Arshad, 39, selepas terpilih untuk menaiki penerbangan pertama ke Tanah Suci yang dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.35 tengah hari nanti.

Katanya, hanya perasaan syu­kur mampu dizahirkan apabila berpeluang menjadi kumpulan pertama tiba di Tanah Suci selepas kali terakhir menjejakkan kaki di bumi bertuah itu pada 2007.

“Setakat ini, semua urusan ke sana dipermudahkan kerana TH memainkan peranan terbaik dalam memastikan kelancaran jemaah haji sekali gus memudahkan segala proses sebelum berlepas termasuk berkaitan permohonan pasport.

“Semoga urusan semua jemaah haji tahun ini diberi kelancaran seterusnya membolehkan ibadah itu dapat dilaksanakan sebaiknya lebih-lebih lagi ketika dunia masih berada dalam si­tuasi Covid-19,” katanya.

Hari ini, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas dari KLIA pada pukul 1.35 tengah hari menerusi pener­ba­ngan Saudi Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antara­bangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada pukul 4.55 petang waktu tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI