GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran berkenaan penyakit cacar monyet yang telah merebak tanpa dikesan ketika ini, lapor laman berita Wion News semalam.
Menurut ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, lebih 550 kes cacar monyet telah direkodkan di lebih 30 negara.
“Siasatan sedang dijalankan tetapi kemunculan kes cacar monyet di banyak negara secara tiba-tiba pada masa yang sama menunjukkan mungkin terdapat penularan yang tidak dikesan untuk beberapa tempoh waktu.
“Memandangkan perubahan iklim menyumbang kepada keadaan cuaca yang cepat bertukar seperti kemarau, haiwan dan manusia mengubah tingkah laku mereka termasuk tabiat mencari makanan.
Tambah Tedros, akibat ‘kerapuhan ekologi’ itu, patogen yang biasanya beredar dalam haiwan semakin melompat ke dalam manusia.
“Malangnya, keupayaan untuk menguatkan penyakit itu dan menularkannya ke dalam komuniti kita semakin meningkat.
“Jadi kedua-dua kemunculan penyakit dan faktor penguat telah meningkat,” jelas beliau.
Ulasannya dibuat apabila kes cacar monyet terus meningkat di luar Afrika, di mana patogen itu adalah endemik.
Bagaimanapun, cacar monyet yang merebak melalui kontak rapat adalah kurang teruk dengan gejala biasa termasuk demam panas dan ruam seperti cacar air melepuh yang hilang selepas beberapa minggu.
Setakat ini, kebanyakan kes telah dilaporkan dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain walaupun pakar menegaskan tiada bukti bahawa ia ditularkan secara seksual. – Agensi