fbpx

Putuskan hala tuju Sukan SEA Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

TEMASYA Sukan SEA Vietnam 2021 yang melabuhkan tirai pada 23 Mei lalu merumuskan segala usaha yang ditunjukkan kontinjen Malaysia ‘terbuku’ ditangga keenam keseluruhan.

Malaysia yang menghantar 584 atlet membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa. Meskipun melepasi sasaran 36 pingat emas, namun keputusan itu dinilai paling buruk sejak temasya diperkenalkan pada 1959.

Daripada 39 emas yang dicapai, 81 daripada 119 atlet muda mampu meraih sembilan emas, 17 perak dan 34 gangsa. Malah, 142 daripada 367 atlet yang membuat penampilan kali pertama menyumbang 15 emas, 21 perak dan 44 gangsa.

Pemerhati sukan, Dr. Pekan Ramli berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) segera melupakan episod duka dan bangkit mencari solusi terbaik terutama perancangan menghantar kontinjen muda.

Katanya, KBS harus menilai semua hala tuju dan misi mereka di Sukan SEA sama ada sekadar menghantar atlet untuk timba pengalaman atau jadi juara.

Pekan melihat sejauh mana keberanian Malaysia menghantar kontinjen muda demi memastikan negara tidak berada di belakang Kemboja, Myanmar, Laos, Brunei dan Timor Leste.

“Tepuk dada tanya selera. Bagi saya buatlah keputusan yang bijak dan matang. Duduk berbincang mencari solusi terbaik.

“Buang segala ego, terimalah segala teguran, rapatkan jurang perbezaan, carilah titik persamaan. Itupun kalau benar-benar ikhlas nak tebus maruah negara.

“Bercakap mengenai atlet muda, adakah rakyat Malaysia boleh terima kegagalan lagi sekiranya mereka tidak berjaya meraih emas di Kemboja nanti dan kedudukan keseluruhan Malaysia lebih buruk?

Kita perlu faham jika atlet yang tiada pengalaman terus dihantar ke Sukan SEA, saya rasa mungkin tiada pingat emas mampu dituai.

“Atlet yang tiada pengalaman mungkin memerlukan beberapa edisi untuk benar-benar matang dan bergelar juara. Jadi perancangan rapi perlu dibuat terutama melibatkan persatuan sukan kebangsaan untuk terus melahirkan atlet terbaik untuk dihantar ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi saya, atlet muda yang tiada pengalaman ini harus membuktikan kemampuan di peringkat kebangsaan ataupun mendapat pendedahan di beberapa saingan antarabangsa sebelum beraksi di Kemboja.

“Jadi, pendekatan untuk atlet muda ke Sukan SEA perlu diubah dan matlamat penyertaan juga perlu lebih praktikal dengan matlamat untuk mengejar juara di gelanggang lawan dan bukan lagi sekadar sasaran pingat emas sahaja, jauh sekali pergi ‘makan angin’,” katanya.

Pekan turut berharap pemilihan atlet selepas ini perlu dilakukan lebih telus.

“Saya berpendapat tidak semestinya atlet yang gagal di Hanoi digugurkan, mereka pasti ingin menebus kehampaan, biar mereka terus berlatih. Siapa yang tidak mahu pingat emas?

“Ketika ini, tiada tempoh yang panjang dan atlet berdepan tempoh masa amat singkat kerana kurang setahun. Perkara paling penting program berterusan, kelemahan diperbaiki dan pemilihan dibuat lebih telus, jangan buat secara bidan terjun, tangkap muat, berlatih ala kadar, keliru hendak letak sasaran atau tidak, tiada pilih kasih baik untuk pegawai, jurulatih mahupun atlet,” ujarnya.

Di Hanoi, MSN menilai 17 sukan tidak mencapai sasaran antara­nya renang, bola keranjang, judo, memanah, pencak silat, bola tampar, futsal lelaki, triathlon, bola sepak lelaki dan e-sukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI