JOHOR BAHRU – Biarpun dilahirkan tanpa sepasang kaki, DYJ Logeswaran tidak menganggap kecacatan itu sebagai penghalang buatnya untuk mencari rezeki seperti insan normal yang lain.
Keazaman lelaki orang kelainan upaya (OKU) itu berkobar-kobar untuk berdikari mencari rezeki atas titik peluh sendiri walaupun perlu mengengsot untuk bergerak.
Logeswaran, 38, yang tidak mempunyai sepasang kaki sejak kecil dan kini menghidap sakit untut, berazam untuk terus berdikari dan hidup bahagia di samping isteri, M. Anjalaidevi, 31.
Katanya, sebelum ini, dia mencari rezeki dengan membuat alas kaki serta mengajar tuisyen bagi subjek Tamil, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan pendapatan RM200 sebulan selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan
“Sebelum ini kami duduk di sebuah rumah papan yang usang, lusuh dan atap yang sudah bocor di Kulai Besar, Kulai dekat sini dengan sewa RM400 sebulan.
“Rasa bersyukur apabila dapat berpindah ke rumah baharu di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Perling di sini sejak beberapa hari lalu,” katanya baru-baru ini.
Terdahulu, pasangan itu menerima kunjungan Ketua MIC Bahagian Kulai, S. Suppayah dan Timbalannya, Datuk Seri Siva Das.
Logeswaran dan Anjalaidevi yang tidak mempunyai cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga empat tahun lalu kini dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan rumah baharu itu dengan sewa RM250 sebulan.
Sementara itu, Anjalaidevi yang sedang mencari pekerjaan selepas berhenti kerja kilang di Kulai apabila patah kaki pada hujung tahun lalu berharap ada pihak yang sudi menyumbangkan kerusi roda kepada suaminya.
“Suami memerlukan kerusi roda automatik. Ini akan memudahkan saya apabila keluar bekerja nanti kerana kerusi roda itu akan membantu dia bergerak lebih mudah di dalam rumah selain menguruskan diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Suppayah memberitahu, MIC Bahagian Kulai telah membayar deposit RM1,500 dan sewa rumah pasangan itu untuk setahun bagi meringankan beban mereka.
Beliau berkata, pihaknya akan melancarkan satu tabung khas untuk Logeswaran supaya sumbangan yang bakal diperoleh dapat membantu kehidupan pasangan itu.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghulurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Logeswaran iaitu 0110729000156833 atau menghubungi Anjalaidevi di talian 010-880 0509.