fbpx

Singapura dilanda krisis ‘Nasi Ayam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penjaja sedang menyediakan hidangan di sebuah gerai nasi ayam di Singapura pada 7 Jun 2021. - AFP

SINGAPURA – Kumpulan peniaga di Singapura meluahkan kebimbangan bekalan ayam yang semakin berkurangan bakal menjejaskan jualan dan meningkatkan harga pasaran, lapor stesen penyiaran CNN, semalam.

Situasi ini berlaku susulan pengumuman penghentian eksport ayam oleh negara jiran, Malaysia bermula bulan ini bagi menstabilkan bekalan domestik.

Pada kebiasaannya, Singapura akan mengimport sekitar 3.6 juta ayam segar dari Malaysia bagi menampung permintaan rakyat republik itu.

Larangan itu dijangka memberi impak besar ke atas rakyat Singapura, apatah lagi kerana hidangan signatur Kota Singa itu adalah nasi ayam.

Meskipun Menteri Negara bagi Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura,  Desmond Tan memberi jaminan bahawa terdapat bekalan mencukupi untuk semua orang namun ia masih tidak dapat menenangkan keresahan para peniaga yang yakin harga ayam akan meningkat dengan mendadak.

Buat masa ini, peniaga membayar SGD$3 (RM9.60) untuk seekor ayam namun ia dijangka akan meningkat sehingga SGH$4 (RM12.80) hingga SGD$5 (RM16.00).

“Setiap satu dollar yang bertambah sangat membebankan. Pembekal sudah memberitahu kami untuk bersiap sedia berdepan peningkatan harga ayam segar lebih tinggi.

“Peningkatan kos pada seekor ayam mungkin hanya satu dollar namun saya perlu mendapatkan stok sekurang-kurangnya 100 ekor setiap hari dan ia akan menjadi terlampau mahal,” ujar peniaga ayam, Jalehar.

‘Krisis nasi ayam’ seperti yang digelar penduduk tempatan hanyalah satu daripada ratusan petanda terbaharu mengenai isu kekurangan bekalan makanan yang sedang dirasai di seluruh dunia.

Penduduk tempatan pada minggu ini cuba mendahului kemungkinan lonjakan harga dengan membeli ayam secara pukal hingga menjejaskan peniaga untuk memenuhi stok bagi jualan harian mereka.

Kebimbangan tentang kekurangan ayam juga semakin ketara apabila barisan beratur luar biasa di kebanyakan gerai nasi ayam di seluruh Singapura kerana pelanggan bimbang, itu mungkin kali terakhir mereka menikmati hidangan ikonik berkenaan.

Sementara itu, kebanyakan peniaga nasi ayam menolak menggunakan ayam sejuk beku sebagai alternatif kepada ayam segar kerana ia akan menjejaskan kualiti hidangan popular itu.

“Jika anda rasakan nasi ayam adalah sedap jika menggunakan ayam sejuk beku, anda boleh pergi ke Malaysia kerana itulah rasa nasi ayam mereka sekarang,” kata seorang penjaja, Madam Tong. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI