MADRID – Real Madrid mengesahkan bahawa mereka berjaya mendapatkan khidmat pemain pertahanan, Antonio Rudiger secara percuma selepas kontraknya di Chelsea berakhir.
Pemain berusia 29 tahun berkenaan dilaporkan sudah menandatangani kontrak selama empat tahun di Santiago Bernabeu yang akan berakhir pada 2026 dan meraih pendapatan mingguan sebanyak £315,000 (RM1.73 juta).
Selain gaji mingguan, Rudiger juga telah diberikan wang saguhati yang cukup lumayan apabila bersetuju untuk menyertai Real dan difahamkan kelab itu meletakkan klausa pelepasannya dengan nilai £342 juta (RM1.8 bilion).
“Saya sangat berbangga untuk mengumumkan bahawa saya sudah menyertai Real Madrid. Saya sangat tidak sabar untuk menghadapi cabaran yang mendatang dan tidak sabar untuk turun beraksi buat kali pertama bersama pasukan ini,” katanya.
Rudiger membuat keputusan untuk menyertai Real selepas menolak tawaran gaji mingguan sebanyak £235,000 (RM1.29 juta) oleh Chelsea yang mahu menyambung kontraknya di Stamford Bridge.
Selain Real, beberapa pasukan lain di Eropah termasuk Manchester United, Barcelona, Paris Saint-Germain dan Juventus turut dikaitkan dengan destinasi baharu yang bakal dipilih oleh Rudiger sebelum ini.
Sepanjang lima tahun di Stamford Bridge, Rudiger berjaya merangkul pelbagai trofi termasuk Piala FA, Liga Europa, Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia. – AGENSI