PARIS – Pemain No.1 dunia, Iga Swiatek mengakui salah satu faktor dirinya dapat kekal tenang sehingga berjaya mara ke pentas final Terbuka Perancis adalah disebabkan mendengar muzik rock.
Sebagai rekod, Swiatek berjaya menepati ramalan selepas menewaskan wakil Rusia, Daria Kasatkina untuk mara ke perlawanan akhir kejohanan bertaraf Grand Slam itu dengan kemenangan straight-set 6-2, 6-1
Kata Swiatek, alunan muzik rock dianggap sempurna untuk memastikan dirinya dapat mengurangkan tekanan sebelum beraksi di atas gelanggang.
“Salah satu rahsia kejayaan saya ketika ini adalah mendengar lagu rock bagi memastikan fikiran saya tidak terganggu untuk sekadar fokus dengan perlawanan yang bakal diharungi.
“Jika ditanya mengenai kumpulan rock kegemaran, sudah pasti saya meminati nama-nama besar seperti Led Zeppelin, AC/DC dan Guns N’ Roses kerana lagu-lagu mereka cukup sempurna dengan jiwa saya,” katanya.
Sementara itu, pemain berusia 21 tahun dari Poland itu mengakui rekod kemenangan ke-34 berturut-turut pada siri Jelajah WTA musim ini yang diraih sememangnya menaikkan motivasinya untuk melakar kejayaan pada aksi final nanti.
“Saya tidak mahu terlalu selesa dengan prestasi semasa, tetapi harus diakui saya kini berada pada tahap terbaik secara fizikal mahupun mental dan sudah tentu berharap dapat meraih keputusan positif di pentas final,” katanya. – AGENSI