BARCELONA – Juara dunia Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP), Fabio Quartararo mengharapkan tuah Litar Antarabangsa Catalunya dalam usaha menjuarai saingan Grand Prix (GP) buat kali kedua musim ini pada GP Catalunya malam esok.
Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha itu percaya litar tersebut banyak memberikan kenangan manis sepanjang kariernya dan sudah tentu momentum yang sama dapat diberikan pada perlumbaan musim ini.
“Secara jujur, saya sangat gembira dapat kembali bersaing di GP Catalunya yang mana litar di sini banyak memberikan pengalaman manis sepanjang karier saya sejak remaja.
“Saya masih ingat ketika berusia 14 tahun, saya berjaya memberikan saingan sengit pada kejohanan CEV Moto3 di sini. Malah, saya turut meraih kemenangan pertama pada saingan Moto2 di litar ini.
“Lebih manis, saya juga merekodkan kejayaan meraih kedudukan podium bagi saingan MotoGP pertama pada karier saya di sini.
“Cuma, situasi pada musim lepas agak janggal kerana saya dapat meraih petak pertama, tetapi hanya mampu menamatkan saingan di tempat keempat dan saya harap dapat perbaiki keputusan tersebut.
“Secara keseluruhan, saya anggap litar ini sebagai salah satu litar kegemaran saya kerana cukup sesuai dengan corak tungangan khususnya pada dua selekoh terakhir yang boleh memberi cabaran buat mana-mana pelumba,” katanya.
Pelumba kelahiran Perancis itu telah menjuarai satu perlumbaan musim ini selepas mendominasi GP Portugal dan kekal mendahului carta keseluruhan dengan mengutip 122 mata daripada lapan perlumbaan. – AGENSI