fbpx

Ladang ternakan didenda RM15,000 tipu gred telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wakil syarikat (tengah) diiringi pegawai KPDNHEP Melaka selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Padah menjual telur dengan saiz gred palsu, sebuah syarikat ladang ternakan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah atas perbuatan itu, tahun lalu.

Hakim, Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Ladang Ternakan Prudence Sdn. Bhd. yang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didapati telah membekalkan 50 unit LTP Corn Egg Gred B 30’S yang menggunakan suatu perihal dagangan palsu berkaitan saiz telur ayam gred B yang tidak mengikut Malaysian Standard MS680:2013.

Tindakan itu dilakukan pada pukul 10.48 pagi di sebuah pasar raya Angee Wholesale Sdn. Bhd. di dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Oktober 2021.

Bagi kesalahan itu, syarikat terbabit didakwa mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan dibaca bersama Seksyen 6(1)(b) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(A) akta sama.

Sabit kesalahan, denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan dan tidak lebih RM500,0000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Mengikut fakta kes, kesalahan itu dikesan selepas sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka membuat serbuan di pasar raya terbabit dan mengesyaki telur ayam dilabelkan dengan gred B sebenarnya adalah gred D.

Pemeriksaan uji timbang dilakukan dan bacaan timbangan telur berkenaan adalah antara 0.50 sehingga 0.56 gram di mana berat tersebut tidak mencukupi untuk dilabelkan dengan gred B seperti ditetapkan Malaysian Standard Fresh Chicken Eggs-Specification MS680:2013.

Hasil siasatan lanjut mendapati, kesemua bekalan telur itu telah diperolehi daripada Ladang Ternakan Prudence Sdn. Bhd.

Terdahulu, wakil syarikat merayu hukuman diringankan dengan alasan telah mengakui kecuaian dilakukan dan perkara itu adalah pertama kali berlaku sepanjang 10 tahun menjalankan perniagaan, selain berdepan cabaran kenaikan kos operasi.

Pegawai Pendakwa KPDNHEP, Muhamad Ashraf Nashrudddin Ahmad Nazri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudian memerintahkan syarikat tersebut membayar denda sebanyak RM15,000 atau penjara terhadap pemilik premis selama tiga bulan jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI