KUALA SELANGOR – Niat seorang lelaki membantu seorang penyelia Kementerian Kesihatan (KKM) menukar tayar pancit berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dilanggar sebuah lori di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Bukit Rotan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu, kedua-dua mangsa merupakan lelaki berusia 40 dan 55 tahun yang parah maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, berdasarkan siasatan mendapati kereta Proton Preve dinaiki penyelia KKM di Seremban, Negeri Sembilan sebelum itu dipercayai pancit.
Katanya, kereta Proton Wira dipandu seorang lagi mangsa lelaki kemudian datang ke lokasi kejadian untuk cuba membantu di tepi jalan.
“Tidak lama kemudian, sebuah lori dari arah Kuala Selangor dipercayai gagal mengelak lalu melanggar kedua-dua lelaki itu.
“Perlanggaran itu mengakibatkan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Ramli, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, satu video berdurasi 15 saat tular di media sosial yang memaparkan mengenai kemalangan maut itu.
Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka sebuah kereta itu, lori berkenaan dipercayai melanggar sebuah kereta yang berada di blind spot (titik buta) di hadapannya sebelum melanggar mangsa dan kemudian berhenti di bahu jalan sejurus kejadian. -KOSMO! ONLINE.