HASRAT skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk cipta kejutan pada aksi sulung Kumpulan C Piala Asia B-23 tidak kesampaian apabila tunduk 4-1 kepada Korea Selatan di Stadium Lokomotiv, sebentar tadi.
Tempoh 10 minit terakhir menjadi detik paling mengecewakan buat pengendali negara, Brad Maloney apabila gawang negara bocor dua kali dalam tempoh empat minit menerusi Cho Young Wook.
Sekalipun tewas, masih ada nota positif mampu dijelmakan pemain negara apabila langsung tidak menunjukkan rasa gerun dengan status lawan selaku juara bertahan malah pemain pertahanan negara, Harith Haiqal Adam Afkar terus membuktikan kualiti dimilikinya apabila sering menjadi benteng terakhir kepada banyak percubaan Korea Selatan.
Terdahulu, Korea Selatan yang lebih mendominasi permainan dihimpit kecewa apabila pemain negara cukup berdisiplin ketika bertahan dan skuad Taegeuk Warriors terpaksa menunggu sehingga minit ke-31 untuk membuka jaringan menerusi Lee Sang Min.
Anak buah Brad Maloney seakan mula menerapkan permainan lebih berani sebaliknya pertahanan lawan nyata lebih baik untuk mengekang setiap gerakan diatur Malaysia.
Selepas itu, kecemerlangan penjaga gol negara, Rahadiazli Rahalim berjaya menafikn beberapa lagi percubaan bahaya dari Korea Selatan.
Hanya tiga minit selepas babak kedua bersambung, Korea Selatan makin selesa dan kali ini giliran Kim Tae-hwan mencipta nama selaku penjaring selepas rembatan derasnya dari luar kotak penalti gagal dihalang oleh mana-mana pemain negara.
Skuad negara seakan tiada pilihan lain, terpaksa bermain secara terbuka dan hasilnya, minit ke-82, berpunca daripada serangan balas, kapten negara, Mukhairi Ajmal Mahadi pamer ketenangan untuk meledak gol pertama Malaysia.
Bagaimanapun, Young Wook segera mematikan sisa perjuangan skuad negara apabila menambah dua lagi gol buat Korea Selatan pada minit ke-88 dan di masa tambahan babak kedua. -KOSMO! ONLINE