fbpx

KPDNHEP rampas RM94.65 juta barang tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosol (tengah) merasmikan MyOri SmartSecure pada majlis pelancarannya di Hotel Zenith Putrajaya hari ini. /FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,160 kes barangan tiruan dirampas melibatkan keseluruhan RM94.65 juta direkodkan hasil penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, ia adalah hasil 14,187 pemeriksaan yang dijalankan sejak 2019 hingga Mei tahun ini.

“Apa yang kita pandang berat ialah barangan tiruan yang dijual dengan harga original. Barangan tiruan dijual dengan harga tiruan itu sudah tentu salah tetapi barangan tiruan dijual dengan harga original seperti di tempat premium.

“Jadi ada dua penipuan di situ iaitu barangan tiruan tersebut dan harga barangan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Platform MyORI SmartSecure dan Program Kepenggunaan Pintar di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, sebanyak 661 aduan berkaitan barangan tiruan diterima pada 2020, 443 aduan pada 2021 dan 131 aduan direkodkan sejak 1 Januari hingga semalam, yang turut melibatkan jualan di premis fizikal dan secara dalam talian.

Berhubung Platform MyORI SmartSecure yang dilancarkan hari ini, katanya, ia mengguna pakai teknologi Near Field Communication (NFC) dibangunkan kerjasama strategik SHSA World Sdn. Bhd. dan MyORI Services Sdn. Bhd.

Aplikasi MyORI SmartSecure boleh dimuat turun secara percuma daripada Google Play Store dan Apple App Store, manakala fungsinya juga boleh mengimbas label pintar MyORI SmartSecure yang diletak pada produk sekali gus memastikan ketulenannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI