fbpx

Arul ada formula buat Malaysian Tigers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUL (kiri) mahu memberikan lebih tumpuan kepada aspek kekuatan fizikal pemain dalam usaha memastikan Malaysia mampu menjuarai kejohanan antarabangsa.

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Arul Selvaraj mahu memberikan lebih tumpuan kepada aspek kekuatan fizikal pemain dalam usaha memastikan mereka menjuarai kejohanan antarabangsa selepas ini.

Buat masa ini, Arul tiada ru­ngutan dengan tahap kekuatan fizikal ditunjukkan anak-anak buahnya meskipun tewas tipis 1-2 kepada Korea Selatan pada aksi final Piala Asia 2022 di Stadium GBK, Jakarta, Indonesia kelmarin.

Sebaliknya, beliau amat berbangga dengan prestasi para pemainnya yang masih dapat mengekalkan intensiti tinggi di pentas final yang merupakan perlawanan ketujuh mereka dalam tempoh 10 hari kejohanan.

“Pemilihan pemain akan berdasarkan kekuatan dan conditioning mereka. Faktor ini akan diambil kira supaya seseorang pemain itu dapat beri prestasi terbaik di perlawanan ketujuh seperti hari ini (final kelmarin).

“Sukan Asia (di Hangzhou, China) nanti akan melalui proses sama iaitu tujuh perlawanan dalam 10 hari. Pemain akan rehat sebulan sebelum kita teruskan program dan ujian fizikal,” katanya.

Mengulas lanjut, Arul percaya Malaysian Tigers berpeluang meraih sesuatu dalam aksi final itu, namun kemenangan lebih berhak diraih Korea Selatan yang berjaya menerapkan taktikal berkesan.

“Memenangi perlawanan adalah bagus tetapi kami perlu belajar memenangi kejuaraan kerana ia adalah perkara paling penting. Secara keseluruhan saya amat berbangga dengan para pemain,” jelasnya.

Sebagai rekod, dua gol Korea Selatan diperoleh menerusi Jung Manjae dan Hwang Taeil pada minit ke-17 serta 52, manakala jaringan tunggal skuad negara dijaringkan oleh Syed Syafiq Syed Cholan pada minit ke-25.

Kejayaan muncul naib juara menyaksikan Malaysian Tigers mengulangi pencapaian edisi terdahulu di Dhaka, Bangladesh pada 2017 dan masih menanti kejuaraan pertama sejak Piala Asia mula dianjurkan sewaktu edisi 1982.

Begitupun, para pemain masih boleh mendabik dada kerana ia adalah kejohanan pertama buat mereka sejak 2019 selain turut melayakkan diri secara automatik ke pentas Piala Dunia 2023 di India awal tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI