SHAH ALAM – Sebanyak 329 jenis produk suplemen (makanan tambahan) kesihatan tidak berdaftar bernilai RM295,000 dirampas dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Kajang, Selasa lalu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, serbuan itu dilakukan Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hasil aduan orang awam.
“Siasatan awal mendapati produk-produk tersebut telah diiklankan melalui sebuah platform e-dagang terkenal di negara ini.
“Produk itu juga didapati membuat tuntutan palsu bahawa berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Peraturan7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Sha’ari berkata, JKNS menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli sebarang produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian.
Semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik boleh dibuat dengan melayari www.npra.moh.gov.my/ atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400. -KOSMO! ONLINE