PERJUANGAN Harimau Malaya di tempat sendiri tidak akan lengkap tanpa doa dan sorakan pemain ke-12.
Justeru, pemain berpengalaman negara, Safiq Rahim memohon kepada seluruh peminat bola sepak tempatan untuk turut membantu misi pasukan dalam kempen kelayakan Piala Asia bermula Rabu depan.
Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menegaskan, bukan hanya pemain yang akan beraksi, namun semua pihak perlu berganding bahu merealisasikan impian layak ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan.
“Ini sebahagian daripada persiapan kita dan kemenangan ini bagus untuk meningkatkan motivasi pasukan. Ada lagi kelemahan yang jurulatih akan baiki dan saya rasa kita masih ada masa lakukannya sebelum aksi pertama nanti.
“Semua pemain dahagakan kejayaan dan ini peluang kita untuk cipta sejarah. Jangan lepaskan peluang ini kerana kita akan bermain di laman sendiri dan di depan penyokong sendiri. Saya rasa peluang ini tidak akan datang lagi.
“Saya sebagai pemain harus melakukan tanggungjawab untuk capai kejayaan dengan memastikan pasukan negara layak. Harap semua peminat dapat doakan kerana pemain ke-12 amat penting buat pasukan, sokonglah walau di mana saja pasukan berada,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan kelmarin.
Selepas membenam Brunei 4-0, aksi persahabatan kedua Harimau Malaya turut berakhir dengan nota keceriaan apabila membenam Hong Kong 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid dan Safiq.
Tempoh kurang seminggu pastinya menjadi detik penting buat pengendali negara, Kim Pan-gon untuk memperkukuhkan pasukan sebelum menghadapi aksi Kumpulan E, bermula dengan aksi menentang Turkmenistan pada Rabu depan, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).
Pada perlawanan kelmarin, Safiq berjaya mengembalikan kepakarannya dalam situasi sepakan percuma untuk menghasilkan gol kedua, namun pemain kelahiran Selangor itu enggan mendabik dada kerana setiap situasi adalah terhasil menerusi kerja berpasukan.
“Rezeki saya. Terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak beri sokongan. Siapa saja yang diberi tanggungjawab dalam aksi kelayakan nanti, semuanya adalah demi kebaikan pasukan,” katanya.