SEBERANG PERAI – Krisis air yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini bukanlah perkara baharu, malah telah berlarutan sejak empat tahun lalu sehingga menjejaskan 33,000 penduduk sekitar.
Bagaimanapun, krisis itu dilaporkan semakin menjadi-jadi sejak penghujung tahun lalu, namun masih belum gagal diatasi sehingga kini.
Seorang penduduk, Siti Aminah Ahmad, 41, berkata, krisis air pada tahun ini amat dirasai terutama golongan sepertinya yang menjalankan perniagaan kek secara kecil-kecilan dari rumah.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, disebabkan ketiadaan air, dia dan suaminya terpaksa bangun seawal pukul 2 pagi setiap hari untuk mengangkut air.
“Sekarang ini, air hanya ada antara pukul 2 pagi hingga 6 pagi dan semakin hari keadaan menjadi semakin teruk sehingga kami terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli tong besar.
“Memang kami sudah tak tahan dengan keadaan ini. Tolonglah selesai secepat mungkin. Jangan hari ini okey, tetapi esok lusa jadi balik,” katanya ketika ditemui di Taman Widuri, Sungai Bakap di sini, semalam.
Difahamkan, krisis air itu bukan sahaja menjejaskan hampir 33,000 penduduk di beberapa kawasan di SPS, malah turut memberi kesan kepada lebih 2,000 murid serta pelajar di sekolah berhampiran sehingga mereka disaran membawa air sendiri untuk kegunaan harian.
Selain itu, sesi persekolahan pula terpaksa ditamatkan lebih awal bagi mengelakkan berlaku lebih banyak kesulitan akibat ketiadaan air.
Seorang lagi penduduk, Hashim Nik, 63, melahirkan rasa kecewa kerana Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) gagal mengotakan janjinya untuk menyediakan air iaitu antara pukul 6 petang hingga 6 pagi.
“Walaupun sudah buat persiapan awal (untuk menadah dan menyimpan air), kami hanya diberi masa empat jam iaitu antara pukul 2 hingga 6 pagi. Masa itulah nak basuh baju, urus anak-anak ke sekolah dan lain-lain.
“Jadi, kami harap PBAPP tepatilah janji seperti yang dinyatakan dalam surat mereka sebelum ini agar kami tidak tertunggu-tunggu. Nak tidur, takut terlelap. Bangun pukul 7 (pagi), setitik air pun tak dapat,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras UMNO kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail berharap PBAPP tidak ‘pilih bulu’ dan dapat menyelesaikan krisis air itu dengan seberapa segera.
“Sebagai contoh, di Taman Widuri ini, cuma disediakan 10 tangki air kecil dan kami mahu (tangki air) disediakan di setiap lorong iaitu sebanyak 29 lorong,” katanya yang turut berharap agar masalah pam rosak di tangki utama dapat diselesaikan agar tangki tersebut tidak menjadi projek ‘gajah putih’.
PBAPP sebelum ini memaklumkan mengenai pelaksanaan Pelan Kontigensi Bekalan Air SPS (SPS-WSCP 2022) yang bermula 26 Mei lepas bagi menangani isu bekalan air di kawasan kediaman di
SPS dengan pengguna air domestik akan menerima bekalan air selama 12 jam bermula 6.01 petang hingga 6 pagi setiap hari.