KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 Ogos ini bagi memutuskan saman Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan enam lagi berhubung penahanan dan pendakwaan terhadapnya, tujuh tahun lalu.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu selaku plaintif menyaman lapan pihak termasuk Kerajaan Malaysia ekoran pendakwaannya di Mahkamah Majistret pada 2015 atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Hakim Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Andi Razalijaya A. Dadi memaklumkan pihak defendan menutup kesnya hari ini.
Hakim berkenaan memaklumkan keputusan pada hari tersebut akan diumumkan secara dalam talian kerana beliau kini bertugas di Pulau Pinang, selain menetapkan 13 Julai ini bagi memfailkan hujahan bertulis dan dijawab pada 27 Julai.
Terdahulu, Andi Razalijaya memaklumkan saksi terakhir iaitu salah seorang pegawai polis yang dinamakan dalam saman itu, C. Muniandy tidak hadir memberi keterangan kerana diserang angin ahmar.
Mahkamah selesai mendengar keterangan dua saksi plaintif dan tiga saksi yang mewakili pihak defendan manakala saksi terakhir ialah Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Masri Mohd. Daud.
Dalam keterangannya, Masri berkata, pertuduhan terhadap Khairuddin bukan hanya bersandarkan kepada lima laporan polis di luar negara semata-mata, sebaliknya dibuat mengikut keterangan pihak lain.
Mahkamah sebelum ini diberitahu, Khairuddin membuat laporan di Perancis, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura kerana berpendapat pihak berkuasa Malaysia tidak mengambil tindakan efektif terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan negara terbabit mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan itu.
Menjawab soalan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili plaintif, Masri tidak bersetuju bahawa oleh kerana tiada tindakan dari pihak berkuasa, Khairuddin ke luar negara untuk membuat laporan.
Selain itu, Masri turut menyatakan beliau tidak pasti sama ada wujud keterangan daripada mana-mana ahli kewangan atau perbankan untuk membuktikan ada perlakuan sabotaj atau cuba mensabotaj seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan. – KOSMO! ONLINE