PARIS – Pemain No. 5 dunia, Rafael Nadal kini dalam misi memburu gelaran ke-14 pada kejohanan tenis Terbuka Perancis apabila berjaya melangkah ke separuh akhir bertemu jaguh Jerman, Alexander Zverev hari ini.
Walaupun berdepan masalah kecederaan kaki yang agak serius, namun pemain Sepanyol itu tetap menjadi pilihan selepas menyingkirkan juara bertahan, Novak Djokovic di suku akhir.
Nadal menjelaskan, dia belum pasti sama ada mahu meneruskan karier sebagai pemain ataupun tidak sebaik sahaja kejohanan di Roland Garros itu berakhir kerana bergelut dengan kecederaan.
“Saya sentiasa jelaskan perkara itu (bersara) setiap kali menyertai mana-mana kejohanan. Saya dapat beraksi di Terbuka Perancis kerana memang sudah melakukan persiapan rapi, selain bersedia sepenuhnya.
“Bagaimanapun, saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas kejohanan ini berakhir nanti. Jika saya tidak menemui jalan penyelesaian terhadap masalah kaki, itulah keputusannya (bersara),” katanya.
Memandangkan dia akan turun menentang Zverev yang merupakan salah seorang pemain terbaik dunia ketika ini, Nadal sedia untuk memberikan segala-galanya bagi memastikan tempat ke perlawanan akhir.
“Buat masa sekarang saya hanya mahu nikmati kejohanan di sini tanpa memikirkan mengenai masa depan. Kejayaan mara ke separuh akhir sudah pasti jadi pembakar semangat untuk saya berdepan Zverev,” ujarnya. – AGENSI