fbpx

Pengedar dadah rempuh polis, isteri, direman enam hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

LUMUT – Lelaki disyaki pengedar dadah yang memandu kereta merempuh kenderaan peronda polis direman enam hari sehingga Rabu minggu depan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata turut direman ialah isteri lelaki tersebut juga dalam tempoh sama.

“Pasangan suami isteri masing-masing berusia 61 dan 38 tahun itu juga didapati positif dadah jenis methampetamine dalam saringan air kencing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Omar menjelaskan berikutan penahanan pasangan tersebut, anak lelaki mereka berusia dua tahun akan diserahkan kepada wakil terdekat hari ini.

Malam tadi, media melaporkan polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar sebuah kereta yang bertindak nekad merempuh bahagian hadapan sebuah kereta peronda polis dalam kejadian di pekan Ayer Tawar, dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek yang disyaki pengedar dadah memperjudikan nyawa isteri dan anak lelakinya yang berada dalam kereta dipandunya dengan bertindak agresif melanggar kereta polis dalam usahanya melarikan diri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan bersama 33 paket dadah syabu seberat 62.5 gram yang ditemui dalam kereta dipandunya kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian rempuhan itu.

Menurut Mior Faridalathrash, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap suspek dan keluarganya serta anggota polis terlibat.

Tegas beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu percubaan membunuh serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI