PETALING JAYA – Pelawak Ali Puteh mendedahkan hanya pernah dibayar setakat RM300 bagi menjayakan tawaran sebuah stesen televisyen sepanjang dua tahun negara dibadai pandemik.
Ali berkata, tawaran tersebut diterimanya pada Ramadan baru-baru ini yang mana memerlukannnya untuk membaca beberapa potong ayat suci al-Quran menerusi panggilan video.
“Sumpah dan jujur saya katakan, sepanjang dua tahun pandemik, itu sahaja tawaran yang saya terima. Apapun saya bersyukur atas rezeki tersebut,” katanya.
Tambah Ali yang juga merupakan adik tiri kepada Allahyarham pelawak dan pelakon Abam Bocey, sepanjang ketiadaan kerja selain tawaran kerja dibatalkan stesen televisyen saat akhir, dia hanya menggunakan wang simpanan yang ada untuk menanggung isteri dan anak meneruskan kehidupan.
“Dua tahun lebih tak ada ‘job’ (tawaran kerja). Kalau setakat program Muzikal Lawak Superstar dan Maharaja Lawak Mega Astro itu lain sebab komuniti pelawak kecil. Tapi, untuk tawaran lain seperti lakonan, pengacaraan dan sebagainya, memang tak ada langsung.
“Dua tahun saya gunakan duit yang saya ada untuk bertahan dan kami berjimat cermat. Tapi alhamdulillah rezeki itu Allah cukupkan sampai ke hari ini,” katanya.
Pada masa sama, Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan bersyukur atas inisiatif kerajaan yang membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 tempoh hari.
“Alhamdulillah sebelum jadi pelawak dan masuk dalam bidang seni, saya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ada caruman KWSP setakat tahun 2009.
“Jadi wang RM10,000 itu saya keluarkan untuk jadikan modal perniagaan daging lembu masa hari raya baru-baru ini selain menampung perbelanjaan keluarga,” katanya yang bersyukur mendapat semula kepercayaan dan tawaran lakonan daripada Awoseme TV.
Ditanya mengenai hubungannya dengan kakak ipar, Siti Nor Hidayah Mohd. Ali, pelawak itu bersedia bersemuka secara terbuka dengan kakak iparnya sekali gus menyelasaikan segala kemelut antara mereka.
“Saya bersedia untuk bersemuka dengannya dan menyelesaikan semuanya secara baik,” katanya.
Pun begitu, Ali menolak jika ada mana-mana pihak yang sengaja mahu menjadikan kisah mereka berbaik sebagai satu bahan untuk tontonan umum.
“Sebelum ini satu sebuah stesen televisyen yang mahu temukan kami, tetapi bagi saya jika mahu berdamai tidak perlulah diberitahu kepada khalayak. Biarlah saya lakukan sendiri.
“Dia juga boleh berjumpa saya untuk selesaikan segala masalah berkaitan dokumen bagi tuntutan faraid dan sebagainya tanpa sebarang syarat,” katanya.
Terdahulu, allahyarham Abam meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.
Pada Mei tahun sama, balu kepada Abam iaitu memfailkan saman fitnah berhubung kenyataan adik iparnya dalam akaun Instagram yang antara lain menggambarkan dia sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab.
Setelah dua tahun naik turun mahkamah, pada Februari baru baru ini, mahkamah memutuskan Hidayah menang kes tersebut dan Ali dituntut untuk membayr ganti rugi sebanyak RM60,000. – KOSMO! ONLINE