KOTA BHARU – Kelantan FC mengesahkan tiada pemain pasukan tersebut yang terlibat atau berkait rapat dengan kes rogol seorang gadis berusia 18 tahun di sebuah rumah di daerah ini pada Ahad lalu.
Pengurus Operasi The Red Warriors (TRW) Kelantan FC, Qusmaini Mohd. Rusli berkata, pihak pengurusan tertinggi Kelantan FC telah melakukan siasatan dalaman tentang perkara itu.
Menurutnya, beliau mengesahkan bahawa tiada pemain TRW yang terlibat atau berkait rapat dengan isu tidak bermoral itu.
“Pihak kelab mengambil serius terhadap tomahan yang dilemparkan oleh sesetengah pengguna media sosial.
“Kita telah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang telah menabur fitnah kepada pemain pasukan Kelantan FC,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Qusmaini, Kelantan FC akan sentiasa menjaga batas pergaulan dan menghomati antara satu sama lain.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang pemain bola sepak liga tanah air dicekup selepas disyaki merogol seorang gadis yang juga merupakan rakannya di sebuah rumah di daerah ini pada Khamis lalu.
Lelaki yang berusia 28 tahun itu ditahan semasa dia berada di rumahnya selepas polis menerima laporan daripada mangsa.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari semasa gadis berusia 18 tahun itu berada di rumahnya seorang diri.
Menurutnya, suspek telah datang ke rumah mangsa yang bekerja sebagai jurujual tudung dan bertindak masuk ke rumah gadis berkenaan ketika dia keluar membuang sampah.
“Pemain bola sepak itu dipercayai telah monolak mangsa dari belakang sebelum mengheretnya ke atas katil di dalam bilik tidur sebelum merogol gadis tersebut.
“Mangsa telah melawan dan menjerit meminta pertolongan namun semua ahli keluarganya tiada di rumah ketika itu,” katanya.
Muhamad Zaki berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan pemeriksaan mendapati ada satu kesan koyakan baharu pada kemaluan gadis itu. – KOSMO! ONLINE