SEPANG – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, fatwa yang dikeluarkan haruslah diterima secara positif dengan hati yang terbuka, berupaya meneguhkan pegangan ummah terhadap Islam serta tidak dianggap berunsur mengongkong dan menekan.
Baginda bertitah, institusi mufti juga perlu memberikan ruang masa perundingan yang cukup dan melakukan perundingan silang termasuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan ketika menangani isu-isu baharu demi menjamin fakta-fakta dapat dianalisis secara mendalam, komprehensif dan teliti.
Titah baginda, dalam komponen ketiga, institusi mufti juga perlu beringat bahawa semakin ramai ummah memiliki pendedahan pendidikan yang lebih terbuka, memiliki daya intelek tinggi, bersifat ingin tahu, berfikiran kritikal, melakukan kajian dan rujukan perbandingan dan tidak mudah memamah dan menerima sesuatu perkara sebelum diyakinkan.
“Komponen keempat ialah kemajuan teknologi komunikasi telah mengubah peranan, sambutan dan penerimaan fatwa dalam masyarakat moden.
“Dalam era internet, telah muncul banyak laman sesawang mengandungi pelbagai fatwa, yang boleh dirujuk sebagai sumber alternatif dalam kalangan ummah untuk mendapatkan fatwa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di sini hari ini.
Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah bahawa urusan fatwa tidak berakhir di peringkat mengeluarkan fatwa, malah mekanisme penghebahan dan penerangan perlu dilaksanakan melalui pelan komunikasi yang berkesan agar sesuatu fatwa dapat difahami, diterima, dihargai dan dihayati.
Titah baginda, pengeluaran fatwa juga perlu sensitif terhadap realiti persekitaran masyarakat, negara dan dunia yang terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik, budaya dan ideologi politik, agar susun kata sesuatu fatwa tidak mengundang polemik dan kontroversi hingga berpotensi mencetuskan konflik, persengketaan dan persepsi negatif terhadap Islam.
“Tegas dengan tafsiran berlandaskan ajaran Islam serta teguh berkecuali daripada sebarang kecondongan politik kepartian dan sama sekali tidak boleh bersubahat dengan sebarang usaha yang membolehkan matlamat menghalalkan cara, hatta jika diarahkan oleh mana-mana pihak yang berkuasa sekalipun.
“Komponen kelapan ialah kebijaksanaan dan hikmah melakukan perimbangan ketika menimbangkan sesuatu arahan atau permintaan agar akauntabiliti utama terhadap Allah dan kepentingan ummah tidak dipinggirkan demi menjamin kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan dapat dilaksanakan,” titah baginda. -K! ONLINE