PETALING JAYA – Pecca Group Berhad (Pecca) mengumumkan perlantikan Foo Ken Nee sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa semalam.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, Ken Nee telah memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam beberapa industri utama iaitu farmaseutikal dan penjagaan kesihatan pengguna, khidmat nasihat korporat pembuatan dan pengedaran rantaian bekalan.
Sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Eksekutif anak syarikat Tropicana Corporation Berhad, Tropicana Golf & Country Resort Berhad dan bertanggungjawab ke atas pembangunan perniagaan baharu, operasi strategik dan pengurusan kewangan yang melibatkan pelbagai sektor industri.
Pengarah Urusan Pecca, Datuk Mohd. Kelvin Teoh Hwa Cheng berkata, pelantikan tersebut mencerminkan komitmen Kumpulan untuk memacu pertumbuhan strategik dan peluang pengembangan.
“Dalam masa yang sama, Kumpulan dapat mengekalkan kedudukannya sebagai pemain upholsteri kulit automotif terbesar di Malaysia.
“Kami yakin di bawah kepimpinan beliau, perniagaan kami akan muncul lebih kukuh dan mencapai kejayaan yang lebih besar pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Sebelum menyertai Tropicana, Ken Nee pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Pecca dari Januari 2019 hingga Mei 2021.
Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan kepimpinan kanan sebelum ini di beberapa syarikat multinasional seperti Pfizer, Zoetis, Zuellig Pharma dan PricewaterhouseCoopers. -KOSMO!ONLINE