fbpx

Malaysia tewaskan Hong Kong 2-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang negara, Darren Lok melakukan asakan ke atas kubu pertahanan lawan pada aksi antarabangsa bertemu Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya berjaya menundukkan Hong Kong 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di  Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Pada aksi malam ini, skuad negara kendalian Kim Pan-gon mempertaruhkan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan lapan pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai tunjang utama pasukan.

Skuad Hong Kong kendalian Jorn Andersen turut meletakkan pemain utama dengan tiga tonggak naturalisasi menjadi taruhan seperti Paulo Cesar, Matthew Orr dan Jahangir Khan.

Namun, skuad Malaysia dilihat lebih banyak mendominasi saingan dengan jentera serangan yang diketuai oleh Safawi Rasid melakukan rentetan serangan berbahaya ke kubu pasukan lawan.

Tuah akhirnya menyebelahi skuad negara selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila Akhyar Rashid dijatuhkan pada minit ke-30 yang berjaya disempurnakan oleh Safawi Rasid.

Skuad kebangsaan terus ghairah untuk menggandakan kelebihan dengan peluang terbaik hadir menerusi tandukan Darren Lok tetapi sedikit tersasar sekali gus saingan pada babak pertama kekal berkesudahan 1-0.

Bersambung pada babak kedua, Pan-gon melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dengan memasukkan dua pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh selain Safiq Rahim serta Faisal Halim.

Bagaimanapun, skuad negara berjaya mengesahkan kemenangan berharga hasil sepakan percuma yang dilakukan oleh Safiq pada minit ke-90 sekali gus menyaksikan badi tanpa kemenangan ke atas Hong Kong sejak 2012 berakhir.

Keputusan tersebut pasti menaikkan motivasi pasukan yang kini sedang mengharungi persiapan terakhir sebelum mengharungi aksi Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula 8 Jun depan. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI