PETALING JAYA – Impian pasukan hoki lelaki kebangsaan untuk melakar sejarah menjulang kemenangan Super 4 Piala Asia 2022 tidak kesampaian apabila tewas tipis 1-2 terhadap pasukan Korea Selatan di Jakarta, Indonesia hari ini.
Kekalahan tersebut sekali gus meranapkan impian skuad negara untuk menamatkan kemarau 40 tahun sekali gus mengulangi skrip yang sama lima tahun lalu bergelar naib juara apabila tumbang di tangan India 1-2 di Dhaka 2017.
Sejak Piala Asia diperkenalkan pada 1982, Malaysia belum pernah muncul juara dengan pencapaian terbaik adalah bergelar naib juara 2017.
Pada saingan tersebut, Korea Selatan bermula garang apabila terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Jung Manjae pada minit ke-17.
Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan laman apabila Syed Syafiq Syed Cholan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-25 sekali gus mengikat kedudukan 1-1.
Ketika Malaysia sedang ghairah mencari gol kemenangan, Korea Selatan berjaya menyumbat gol kedua mereka menerusi serangan balas pada minit ke-52 menerusi jaringan padang Hwang Taeil.
Meskipun Malaysia cuba bangkit menerusi percubaan-percubaan tepat namun ia berjaya dihalang cukup kemas pasukan Korea Selatan untuk muncul juara pada saingan tersebut.
Hasil kemenangan itu, Korea Selatan terus menambah koleksi kemenangan mereka dipentas Piala Asia selepas muncul juara pada edisi 2013,2009, 1999, dan 1994.