BERUAS – Polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar sebuah kereta dipandu seorang lelaki selepas dia nekad merempuh kereta peronda dalam kejadian di pekan Ayer Tawar, dekat sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek yang disyaki pengedar dadah turut memperjudikan nyawa isterinya yang berusia 38 tahun dan anak lelaki berusia dua tahun yang berada di dalam kereta dipandunya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta dipandu lelaki berusia 61 tahun itu, pihaknya menemui 33 paket dadah syabu seberat 62.5 gram.
Menurut beliau, kejadian bermula apabila anggota yang melakukan rondaan cegah jenayah melihat sebuah kereta jenis Volvo yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan kenderaan itu.
“Suspek bagaimanapun bertindak agresif dengan bertindak melanggar hadapan kereta peronda polis sebelum memecut laju keretanya untuk melarikan diri.
“Tindakan suspek itu mengancam pihak berkuasa menyebabkan polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira 800 meter dari lokasi rempuhan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mior Faridalathrash, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap suspek dan keluarganya serta anggota polis terlibat.
Tegas beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu percubaan membunuh serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah.-KOSMO! ONLINE