TAMPIN – Seorang anggota tentera maut dipercayai terbabit dalam kejadian langgar lari di Jalan Bukit Rokan menghala ke Jelai, di sini pada pukul 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab. Wahab berkata, mangsa, Miswadi Punandi, 42, yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah sebuah lori.
“Berdasarkan siasatan, mangsa dalam perjalanan dari arah Bukit Rokan menghala ke Jelai. Apabila sampai di satu selekoh motosikalnya bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia. Mayat dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Balai Polis Trafik Daerah Tampin atau menghubungi talian 06-4412502 atau 06-4431999 (Bilik Gerakan IPD Tampin) bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE