SEVILLE – Pengendali Sepanyol, Luis Enrique mengakui menagih impak penyerang muda, Ansu Fati menjelang aksi pembukaan Kumpulan B saingan Liga Negara-Negara Eropah menentang Portugal di Stadium Benito Villamarin awal pagi esok.
Sebagai rekod, Fati telah diserapkan dalam senarai 25 pemain yang dipanggil Enrique untuk mengharungi kempen Liga Negara-Negara Eropah bulan ini untuk menentang pasukan Portugal dan dua lagi negara yang berada dalam Kumpulan B, Switzerland dan Republik Czech.
Kata Enrique, keputusan memanggil semula khidmat pemain muda Barcelona itu adalah untuk memastikan pasukannya dapat memberi saingan yang kompetitif selain bagi menambah pilihan khususnya di posisi serangan.
“Saya ada perancangan tersendiri dengan apa yang perlu dilakukan terhadap Fati. Namun, dalam masa yang sama saya tidak mahu terlalu mengambil risiko kerana dia baru sahaja pulih daripada kecederaan.
“Cuma, saya pasti dia akan diturunkan walaupun bukan dalam kesebelasan utama, tetapi sebagai pemain yang memberi impak ketika dimasukkan sebagai pemain gantian. Saya pasti peminat rindukan kelibatnya selepas dua tahun tidak menyarung jersi kebangsaan,” kata Enrique.
Sementara itu, penyerang pasukan Sepanyol, Pablo Sarabia menyeru agar barisan pemain berwaspada dengan ancaman yang bakal diberikan Portugal sekiranya berhasrat untuk mengutip tiga mata berharga di laman sendiri nanti.
“Saya percaya Portugal masih boleh dianggap sebagai salah satu pasukan terbaik dunia kerana mereka cukup sempurna di posisi pertahanan dan serangan. Namun, kami kekal positif untuk meraih kemenangan dan berhasrat untuk menjulang trofi kejohanan ini nanti,” katanya.
– AGENSI