PARIS – Rafael Nadal membuktikan dia layak menjadi pemain terhebat dalam sejarah Terbuka Perancis sejurus berjaya menumbang musuh utamanya yang juga pemain No.1 dunia, Novak Djokovic awal pagi semalam.
Nadal yang turun dalam misi untuk memburu gelaran ke-14 di Roland Garros berjaya menewaskan jaguh Serbia tersebut dengan 6-2, 4-6, 6-2, 7-6 dalam tempoh empat jam 12 minit pada perlawanan suku akhir di gelanggang Philippe-Chatrier.
Kemenangan tersebut memastikan Nadal mengesahkan kemenangan kali kelapan daripada 10 pertemuan di Terbuka Perancis ke atas juara bertahan itu.
Hasil kemenangan tersebut, juara 21 kali Grand Slam itu akan berdepan pemain pilihan ketiga dari Jerman, Alexander Zverev di pentas separuh akhir, esok.
“Untuk memenangi perlawanan ketika berdepan Djokovic, hanya satu cara iaitu tampil dengan baik dari mata pertama hingga yang terakhir.
“Apapun, ia adalah satu malam yang penuh keajaiban buat saya untuk kekal mencipta kemenangan di sini. Bagi saya, sungguh hebat dapat bermain di gelanggang ini.
“Tetapi, ia adalah perlawanan di suku akhir dan saya masih mempunyai perlawanan separuh akhir. Perlawanan masih belum tamat dan saya akan kekal stabil untuk melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.
Sebagai rekod, pemain berusia 35 tahun tersebut hanya tewas tiga kali daripada 113 perlawanan di gelanggang tanah liat di Paris sejak muncul juara ketika penampilan pertama pada 2005. – AGENSI