fbpx

PM cadang tiga gerak kerja bagi hadapi PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika berucap pada Konvensyen BN dan Sambutan Ulang Tahun BN Ke-48 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Tiga gerak kerja telah dicadangkan untuk dilaksanakan Barisan Nasional (BN) secara bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antaranya sentiasa berusaha bagi mencapai budaya kerja kelas pertama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BN hendaklah bersiap siaga, kerja kelas pertama itu ditafsirkan sebagai berpasukan, berdisiplin dan kesetiaan kepada parti.

Katanya, pemimpin dan ahli BN yang setia bukanlah yang ada ketika senang sahaja, namun tetap setia walau dilambung badai sekuat mana sekali pun.

“Yang berada dalam dewan ini, sudah teruji kesetiaannya. Seinci pun tidak berganjak dari parti walau berdepan dengan ugutan, tekanan, ancaman mahupun tawaran yang menggiurkan.

“Elemen kedua, ingin saya tekankan, BN perlu memenangi hati rakyat. Saya, sebagai Perdana Menteri akan memastikan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat,” jelasnya ketika berucap pada Konvensyen BN dan Sambutan Ulang Tahun BN Ke-48 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Selain itu katanya, perkhidmatan yang terbaik harus diberikan kepada rakyat. Jelasnya, kerajaan sentiasa cakna, mengambil berat, mencari inisiatif terbaik dan segera menyelesaikan masalah setempat.

“Elemen ketiga adalah merangka formula strategi kemenangan PRU-15. Strategi ini perlu fokus kepada pemantapan jentera Pilihan Raya di antara parti komponen.

“Justeru, bersempena Konvensyen Barisan Nasional, maka hari ini adalah penting untuk kita perbaharui ikrar kita iaitu Ikrar kita kepada rakyat keseluruhannya, ikrar kita untuk menjadi yang terbaik dan kkrar kita untuk meneruskan kelangsungan perjuangan memartabatkan negara tercinta.

“Marilah kita sematkan dalam jiwa, dengan ikrar dan tekad penuh jitu, untuk memperkukuh kerjasama antara parti komponen. Kita juga perlu jauhi anasir-anasir luar yang sentiasa menanam bibit perpecahan sesama kita,” tegasnya.

Tambah Ismail Sabri, sesungguhnya, ikrar tersebut adalah untuk memenangi PRU-15 dengan majoriti 2/3 kerusi di Dewan Rakyat bagi membolehkan BN meneruskan agenda membantu rakyat dan memakmurkan negara.

“Kerajaan BN yang kuat akan mewujudkan kestabilan politik di dalam negara, dan sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi rantau,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI