IPOH – Polis menjumpai seketul batu konkrit dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemukan terbakar di tepi sungai dekat Kampung Talang Lama, Kuala Kangsar semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, batu dengan kesan darah itu dijumpai berhampiran mayat yang masih belum dikenal pasti identitinya.
“Pemeriksaan awal pada mayat mangsa menjumpai terdapat satu kesan luka pada bahagian atas kepala sebelah kanan.
“Kita percaya, batu yang mempunyai kesan darah itu adalah senjata yang digunakan untuk mencederakan kepala simati,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, berdasarkan penelitian awal, mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar dalam tempoh tidak lebih 24 jam sebelum mayatnya dijumpai.
Ujar beliau, ekoran mangsa dijumpai tanpa pengenalan diri, pihak forensik Hospital Kuala Kangsar akan melakukan x-ray dan pemeriksaan gigi simati terlebih dahulu.
Katanya, pada masa sama, pihak polis juga akan merakam cap jari simati untuk dianalisis.
“Bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dijalankan esok di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.-KOSMO! ONLINE