PENAMPANG – Guru sekolah rendah, Freneritta Sobitun, malam tadi dinobatkan pemenang Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2022.
Unduk Ngadau (UN) berusia 25 tahun yang mewakili daerah Sandakan berkenaan berjaya menewaskan 44 peserta lain yang turut mara ke pusingan akhir.
Berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), kemenangan terbabit sekaligus menyaksikan Freneritta mengambil alih takhta UNK daripada pemenang UNK 2021,
Maya Hejnowska.
Freneritta yang kini bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai-Sungai Beluran membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM122,529 termasuklah wang tunai sebanyak RM12,000 dan biasiswa pendidikan dari Asian Tourism International (ATI) bernilai RM35,000.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Esther Marius yang mewakili daerah Papar manakala tempat ketiga dimiliki wakil dari Ranau, Deedee Cassandra Dallius.
Sementara itu, tempat keempat hingga ketujuh masing-masing dimenangi oleh Carolyn Tony (Penampang), Allveanna Loimin (Kiulu), Evanatie Sannie (Kota Marudu ) dan Sylvernie Belinda Engelbert (Inanam).
Terdahulu, UNK 2022 adalah acara kemuncak sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan sepanjang bulan Mei di Sabah. -KOSMO! ONLINE