LONDON – Ketua-ketua kesihatan di Britain memberi amaran kepada pesakit cacar monyet supaya berhenti melakukan hubungan seks kerana dibimbangi boleh membantu penyebaran virus, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Menerusi panduan baharu yang dikeluarkan, agensi-agensi kesihatan awam di Britain menetapkan langkah baharu itu untuk menangani penularan penyakit cacar monyet.
Antaranya termasuk meminta pesakit berhenti melakukan hubungan seks sementara masih dijangkiti virus tersebut.
Pihak berkuasa kesihatan Britain meminta orang ramai untuk berhenti melakukan hubungan seks sehingga lapan minggu termasuk menasihati pesakit supaya memakai kondom sepanjang tempoh tersebut sekiranya terlibat dalam sebarang aktiviti seksual.
Panduan baharu itu dipersetujui oleh empat agensi kesihatan awam Briatin termasuk Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), Kesihatan Awam Scotland (PHS), Kesihatan Awam Wales (PHW) dan Agensi Kesihatan Awam Ireland Utara (PHA).
“Pesakit perlu menahan diri daripada berhubungan intim semasa tempoh permulaan gejala dan tidak menyentuh sebarang jenis luka.
“Walaupun ketika ini tiada bukti virus cacar monyet ada dalam cecair alat kelamin, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks atau menggunakan kondom selama lapan minggu selepas jangkitan.
“Panduan ini akan dikemas kini apabila terdapat bukti baharu,” kata agensi-agensi berkenaan.
Sebelum ini, mereka menegaskan bahawa cacar monyet tersebar melalui sentuhan fizikal terutamanya melalui luka dan kudis.
Dalam pada itu, pesakit turut dinasihatkan untuk mengasingkan diri di rumah sehingga mereka didapati cukup sihat. – Agensi