Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berusia 29 tahun maut setelah mengalami luka melecur di separuh bahagian tubuh badannya setelah terlibat dalam sebuah kebakaran kedai dua tingkat di Taman Melawati, Skudai, di sini hari ini.
Komander Operasi, Penguasa Bomba, Mohamad Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.04 petang.
Menurut beliau, 21 pegawai dan anggota serta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai serta Larkin dikejar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kebakaran membabitkan ruang tamu tingkat dua premis yang merupakan sebuah kedai dua tingkat jenis binaan kekal itu telah berjaya dipadam oleh orang awam.
“Semasa operasi, anggota bomba menemui mayat seorang lelaki dewasa yang mengalami luka melecur pada separuh badannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Operasi berkenaan kemudian ditamatkan pada pukul 8.46 malam.-K! ONLINE