KETUA jurulatih skuad Hong Kong, Jorn Andersen mengakui cukup teruja untuk bertemu Malaysia pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023 minggu ini.
Kata Andersen, pertemuan menentang skuad Harimau Malaya dianggap sebagai medan reunion bersama pengendali pasukan negara, Kim Pan-gon yang pernah membimbing Hong Kong sebanyak dua kali sebelum ini.
“Kami sangat teruja dapat bertemu Malaysia kerana ini adalah aksi pemanas badan terakhir sebelum pasukan berlepas ke India untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023 bagi peringkat Kumpulan D.
“Secara jujur, hubungan yang baik Pan-gon dengan kami telah merealisasikan pertemuan ini dan saya harap pasukan dapat berikan yang terbaik pada aksi itu nanti.
“Sebelum ini saya pernah menentang Malaysia ketika membimbing Korea Utara di Buriram, Thailand dan menang dua perlawanan tersebut. Sudah pasti ia akan memberi motivasi buat saya “ katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam.
Bagaimanapun, Andersen enggan meletakkan harapan tinggi untuk melakar keputusan positif memandangkan pasukannya baru sahaja dikumpulkan selepas lebih empat bulan acara sukan ‘diharamkan’ ekoran penularan pandemik Covid-19 di negara itu awal tahun ini.
“Saya tiba di Hong Kong pada Disember lepas dan kemudian gelombang Covid-19 melanda dengan empat bulan semua acara sukan diharamkan sehingga pemain terpaksa menjalani latihan sendiri.
“Namun, kita sudah kembali menjalani kem latihan pusat sejak awal Mei termasuk dua minggu di Thailand. Kini, saya percaya semua pemain sudah berada di tahap yang dikehendaki untuk mencapai keputusan positif,” katanya.