KEMAHUAN anak jati menjadi taruhan buat juara bertahan Sooka Netball Super League (NSL) musim lalu, Kuala Lumpur (KL) Wildcats bagi mengharungi penganjuran edisi kedua yang bermula Jumaat ini.
Mengambil kira senarai pemain dimiliki, KL Wildcats akan dibarisi pemain muda dengan 90 peratus daripadanya adalah muka-muka yang akan membawa cabaran Wilayah Persekutuan pada Sukan Malaysia (Sukma).
Pengurus pasukan, Yatimah Hashim berkata, pengurusan pasukan lebih selesa untuk bersikap merendah diri dan tidak mahu dihimpit tekanan, namun menuntut semangat luar biasa daripada barisan pemain.
“Kami menghargai kesetiaan atlet anak-anak Wilayah Persekutuan. Kami tidak meletakan apa-apa sasaran, sekiranya kami berjaya sudah pasti ia merupakan bonus untuk kami.
“Kita akan mempertaruhkan semua pemain tempatan dan ia juga sebagai pendedahan kepada pemain muda, namun semua itu bukan alasan tidak berjaya. Mereka anak jati Wilayah Persekutuan dan sudah pasti kemahuan mereka juga menjadi suntikan untuk menghadirkan keputusan lebih baik,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada kali ini, naib juara, Johor Jewels dilabel sebagai pasukan pilihan dan turut mempertaruhkan dua import, masing-masing dari Sri Lanka dan Thailand malah turut berjaya menyambar khidmat bintang Selangor Angels yang merupakan penjaring terbanyak musim lalu, An Najwa Azizan dan kapten KL Wildcats, Nur Syafazliana Mohd. Ali.
Kosmo! kekal menjadi media rasmi bagi musim kedua Sooka NSL, selain beberapa penaja lain seperti Kementerian Belia dan Sukan, Era FM, Ticket Hotline, Sooka, Kaki Jersi dan produk makanan, KKMY!
Selain Johor Jewels, turut bertanding adalah Selangor Angels, Perak Phoenix, Kedah Sunshine, Negeri Sembilan (NS) Venom, Pahang Tulips dan Melaka Mystic.